Friday 12 August 2011

Projek Pusat Komersial Muara Labuk Beluran


BELURAN 11 Ogos – Projek Pusat Komersial Muara Labuk bakal menjadi satu mercu tanda baru bagi Pekan Beluran. Kedudukannya yang strategik iaitu di tengah-tengah pekan sudah pasti akan meningkatkan imejnya sebagai hentian setempat pekan itu.
Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd. (SUDC), Datuk Juslie Ajirol berkata, pembangunan projek itu akan memfokuskan pada usaha mewujudkan sebuah pusat komersial yang inovatif dan moden sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, konsep reka bentuk bangunan di pusat komersial yang dijangka siap pada Jun 2013 itu akan menggalakkan aliran lalu lintas di mana disediakan ruang letak kereta yang banyak bagi keselesaan pengunjung.
“Antara ciri utama pembangunan projek ini termasuklah 21 unit rumah kedai dua tingkat dengan keluasan 2,500 kaki persegi setiap unit, 85 ruang letak kereta dan 17 ruang letak motosikal dan ruangan khas bagi pemunggahan barang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran projek Pusat Komersial Muara Labuk yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Michael Asang di Dewan Masyarakat Pekan Beluran di sini, baru-baru ini.
Tambah Juslie, pusat komersial pertama di pekan itu sudah tentu akan meningkatkan keindahan Pekan Beluran yang bakal menjadikannya pilihan utama para pengunjung untuk membeli-belah.
Malah, katanya, ia juga akan memberi impak ekonomi yang dijanakan melalui pewujudan sektor peruncitan dan aktiviti perniagaan yang sudah tentu bakal menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dalam bidang perniagaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, SUDC selain berperanan sebagai pemaju hartanah berorientasikan komersial, turut memberi tumpuan sebagai ejen pembangunan setempat.
Sumber Utusan Online

0 comments:

Post a Comment