Tuesday 9 August 2011

Curi Kabel SESB Rugi RM300,000

TAWAU: Lebih 37,000 pengguna di daerah ini terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan elektrik pada Ahad berikutan tindakan beberapa individu tidak dikenali yang didapati memotong kabel bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Kg. Jawa di sini, dipercayai dengan niat untuk mencurinya.

Antara kawasan-kawasan yang terlibat adalah sekitar kawasan Pejabat Kawasan SESB, Jalan Apas Parit, Tiku, Jalan Sin Onn, Jalan Belunu, Wisma Takada, Jalan Bahagia, Jalan Dinamik, Tanjung Batu, Ladalam, Kampung Asli, Bong Yap Industries, Hotel Emas dan sepanjang Jalan Muhibbah.

Pengurus SESB Zon Selatan Tawau, Rudy Thaddeus berkata, kabel yang dipotong itu merupakan kabel bawah tanah 33 KV, yang menjadi kabel utama pembekalan kuasa elektrik kepada sebahagian pengguna di daerah ini.

Menurutnya, SESB terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM300,000 akibat kerosakan yang berlaku, dan masalah bekalan terbabit berlaku pada jam 3.58 petang sehinggalah bekalan berjaya dipulihkan pada jam 5.47, hari yang sama.

Individu-individu yang bertindak memotong kabel berkenaan pula ujarnya berjaya melarikan diri.

Rudy berkata, sebaik mendapat maklumat tentang kejadian itu, pihaknya segera melakukan kerja-kerja pembaikan dan masalah bekalan berjaya dipulihkan pada jam 5.47 petang, hari yang sama.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya yang dihantar kepada New Sabah Times.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu bahawa dua kes cubaan mencuri kabel bawah tanah direkodkan berlaku di Sabah sejak Januari lalu.

Kejadian pertama ujarnya berlaku pada 19 Julai apabila beberapa individu bertindak membakar kabel bawah tanah 66 kv milik SESB di Kg. Melawa, Sepanggar sekaligus menyebabkan penduduk di kawasan Tuaran dan Sepanggar terpaksa bergelap selama kira-kira sejam.

Kejadian pada Ahad itu pula katanya adalah kejadian terbaru yang direkodkan pihaknya.

Dalam pada itu, Rudy memberitahu bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab memotong kabel bawah tanah SESB bukan sahaja boleh merosakkan pemasangan SESB malah memberi impak kepada bekalan yang disalurkan kepada penduduk sekitar.

Oleh demikian, beliau meminta kerjasama masyarakat agar menghubungi pihak SESB di talian 088-282 455, jika melihat orang yang mencurigakan di kawasan pemasangan SESB.
Sumber News Sabah Times

0 comments:

Post a Comment