Tuesday 9 August 2011

Hary Nianti Lancar Album "Kada Pologoso" Malam Ini

MALAM ini bakal mencatit satu lagi memori indah buat jejaka kelahiran Beluran, Peter Haryson Nianti atau lebih dikenali sebagai Hary Nianti dalam perjalanan seni beliau.

Album sulungnya yang diberi judul ‘Kada Pologoso’ akan dilancarkan secara rasmi di Damai Club, Penampang bermula pada jam 7 malam dan dijangka berakhir pada jam 10 malam nanti.

Tanpa aral melintang, acara pelancaran itu bakal disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Donald Peter Mojuntin.

Menurut Hary yang dihubungi baru-baru ini, selain daripada para pengunjung berpeluang menikmati harga promosi albumnya, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan demi mendekatkan dirinya dengan pengunjung yang hadir.

“Kepada yang berkesempatan, silalah datang ke pelancaran album sulung saya ini. Segala sokongan daripada anda semua sangat dihargai dan saya berharap agar anda semua dapat menerima kehadiran saya dalam industri muzik ini. Support orang kita, kita urang,” ujarnya mesra.

Mengulas lanjut mengenai pelancaran albumnya nanti, Hary memberitahu selain daripada penyanyi yang sedang mencipta nama dalam industri muzik tempatan seperti Betcy Michael, Jaymeral Henry, Usal Jon Gavis, Bernard Laimen Michael, Esther Clement Tubong dan Joseph George; abang kembarnya, Anderson Nianti juga akan tampil membuat persembahan bagi memeriahkan majlis itu nanti.

Menariknya, belum pun album ini dilancarkan, Hiburan NST difahamkan oleh sumber-sumber tertentu mengenai penerimaan positif masyarakat Sabah terhadap beberapa buah lagu yang ada dalam album ini.

Antaranya, lagu ‘Ku Sempurna’ berjaya memukau telinga pendengar sebaik sahaja ia dikeudarakan di corong radio tempatan.

Justeru, sama-sama kita nantikan kehebatan pemuda ini mengawal pentas sekaligus menyerlahkan auranya sebagai artis tempatan yang masih hijau.
Sumber News Sabah Times

0 comments:

Post a Comment